HADIAH TERMAHAL
Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Peribadi
Http://sariahawangsenik.blogspot.com
Alhamdulilah. Inilah hadiah yang mahal dan tiada tolak bandingnya didunia ini.
Tahu kejayaan tidaklah sebesar mana
Tahu perjuangan ini juga baru saja bermula.
Apalah sangat kesusahan ini, jika dibandingkan dengan segala kesusahan dan keperitan yang ditempuhi oleh sahabat-sahabat nabi dalam misi menyebarkan dakwah Islam pada zaman dahulu kala.
Masa itu, semuanya lagi susah dan perit, bukan?
Tapi bagaimana mereka mengatasinya?
Satu sahaja kekuatan mereka.
Kekuatan yang sepatutnya ada, pada waktu dan saat yang paling getir.
Apakah dia ya??
Sudah pasti berdoa dan terus berdoa sambil berusaha yang terbaik.
Mungkin keadaan itu tidak sepatutnya saya samakan sedemikian. Tapi semangat itulah yang cuba saya serapkan dalam diri ketika diuji dengan satu dugaan dan juga dugaan yang lain.
Jujur perjalanan kehidupan saya tidaklah seindah mana.
Namun saya bertuah kerana Allah telah pilih saya untuk harungi semua ini.
Hampir 6 tahun saya membesar dan juga mendidik anak-anak bersendirian.
Dan dalam masa yang sama juga, telah 6 tahun saya bergelar seorang ibu tunggal.
Sejak dari awal, saya nekad besarkan anak-anak dan mendidik mereka dan nilai-nilai kemanusiaan yang murni.
Bahawa apa saja keburukan ataupun kejahatan, jangan sesekali dibalas balik.
Biarkan saja Allah jalankan segala tanggungjawabnya.
Doakan mereka walau sejuta kali orang melakukan kejahatan kepada kita. Dan bersabar walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran.
Syukurlah. Dan terima kasih Ya Allah. Mereka anak-anak yang tidak banyak karenah. Mungkin mereka sedang menjaga hati saya sebagai seorang ibu ataupun tidak mahu melihat saya bersedih.
Melihat anak-anak mencapai satu-satu kejayaan bagaikan memberi satu kepuasan buat diri saya.
Percaya bahawa apa yang saya korbankan selama ini sangat berbaloi.
Keputusan untuk lebih mengutamakan kebahagiaan anak-anak melebihi kebahagiaan saya sendiri. Bukanlah menolak jodoh ataupun takdir.
Tapi saya percaya semuanya akan datang sendiri dan tepat pada masanya.
Itulah yang paling membahagiakan dan tenteramkan jiwa saya.
Saat-saat saya menghabiskan masa bersama mereka, kini terasa makin singkat dan sangat mahal.
Mahal melebihi emas yang ada didepan mata.
Mahal kerana semua kenangan indah dan memori manis dari kecil mereka mengenal dunia sehingga kini tidak akan berulang lagi.
Mereka bakal berhadapan dengan kehidupan yang sebenar satu masa nanti. Cabaran yang hebat malah lebih besar dari segalanya.
Hari ini dan hari yang seterusnya, anak dara tersayang akan menghabiskan detik terakhir seisi persekolahannya selama 6 tahun di sekolah rendah.
Kemudian bakal melangkah ke sekolah menengah pada tahun hadapan.
Pantas masa berlalu.
Begitu cepat dia membesar. Yang pasti, dia kini telah menjadi seorang anak dara.
Melihat dia tersenyum riang bersama rakan-rakan, bagaikan satu keindahan buat saya.
Hilang sudah segala penat lelah.
Bagaikan melihat pelangi bersinar, begitu jualah melihat senyumannya terukir dibibir.
Insha Allah. Doa tidak akan pernah lekang dari mulut ini mendoakan mereka. Setiap saat tidak pernah lupa untuk mendoakan akan kejayaan mereka dunia dan akhirat.
Semoga satu hari nanti, mereka tidak akan melupakan segala pengorbanan dan kesusahan yang telah diharungi suatu masa dahulu.
Al-Fatihah untuk Nur Damia Rifqah dan Muhamad Aiman Hakimi.
Sekian Terima Kasih
Sariah Awang Senik


Comments
Post a Comment